PERS mahu bertanding pada PRU-13


KOTA KINABALU 2 Okt. - Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS) akan bertanding di kesemua 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Pengerusi Penaja PERS, Jason Jack Bullah berkata, parti itu akan bertanding pada PRU akan datang bagi kerusi DUN Sabah dan Parlimen atas tiket PERS atau Bebas Bersatu.
Katanya, PERS merupakan rakan kepada Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang berpangkalan di Sarawak.
Menurutnya, pihaknya telah mendaftar di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Sabah dan berharap permohonan itu akan mendapat kelulusan segera, bagi membolehkan PERS bertanding.
"Kami telah mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan PERS kepada ROS di sini pada 14 Julai lalu," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat penaja PERS yang diadakan di salah sebuah hotel di sini semalam.
Jason berkata, calon-calon yang akan bertanding bagi 60 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen telah menandatangani surat 'Aku Janji' bahawa mereka tidak akan mengkhianati amanah rakyat serta tidak akan melompat parti.
Beliau mendakwa, sekiranya PERS memenangi pilihan raya umum DUN Sabah akan datang, PERS akan melaksanakan beberapa perkara, antaranya mengkaji semula dan menaikkan kadar royalti minyak yang kini sebanyak lima peratus.
"Melaksanakan proses undang-undang berdasarkan Kanun Tanah Negara dengan bantuan badan dunia serta NGO tempatan dan antarabangsa bagi mengembalikan semula tanah adat (LA) kepada rakyat Sabah," katanya.

sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Comments

Popular Posts