Najib di mata Jeniri Amir


Petikan dari SarawakUpdate.com

Kolumnis : Jeniri Amir

Sabtu lalu, 3 April 2010, genap setahun Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
Dalam tempoh setahun, beliau telah beberapa kali berkunjung ke negeri ini, termasuk ke rumah panjang di Sri Aman dan Kanowit. Meskipun ada yang bersikap sinis dan menganggap kekerapan kunjungan beliau ke Sarawak ada kaitan dengan hasrat untuk memastikan Sarawak terus kekal menjadi ’simpanan tetap’ dalam pilihan raya, namun satu hal adalah pasti: Bahawa hal ini membuktikan komitmen beliau untuk membawa pembangunan, terutama di luar bandar agar setanding dengan pembangunan di luar bandar lain di negara ini.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), satu daripada tumpuan beliau adalah untuk memacu pembangunan di luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak. Kerajaan Persekutuan telah memberi komitmen tegas untuk menyelesaikan masalah kemudahan dan prasarana di luar bandar Sarawak dalam tempoh tiga tahun, iaitu menjelang akhir 2012.

Bagi saya, ini merupakan janji luar biasa yang menuntut komitmen luar biasa biasa juga, bukan sahaja dari segi peruntukan, tetapi juga strategi dan pelaksanaan segala rancangan dan projek. Bayangkan masalah yang tidak mampu diselesaikan dalam tempoh 46 tahun lalu, dijanjikan dapat ditangani dalam tempoh kurang daripada lima tahun. Yang kita harapkan, semuanya itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengkompromikan kualiti kemudahan dan prasarana yang dilaksanakan. Jangan sampai berlakunya kebocoran dan ketirisan, serta kualiti kemudahan yang rendah mutunya.

Apakah maknanya semua ini? Adakah ini bermaksud, jika pemimpin politik mempunyai iltizam politik untuk melakukannya, atas apa-apa alasan sekalipun, mereka mampu melakukannya. Jika tidak, kemungkinan seperti yang telah kita saksikan selama ini, permohonan projek pembangunan yang dibuat beberapa kali untuk berpuluh-puluh tahun oleh penduduk di luar bandar, adalah umpama masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri.

Mereka memberi alasan, Sarawak bukannya kecil; saiznya sebesar Semenanjung Malaysia. Bukan satu kawasan sahaja yang perlu diberikan perhatian. Sebaliknya, kerajaan perlu bersikap adil dan saksama terhadap semua kawasan. Tetapi kita perlu ingat, Sarawak juga merupakan sebuah negeri yang kaya dari segi sumber alam. Ke mana perginya hasil minyak, hutan dan sebagainya itu? Demikian hujah rakyat yang barangkali sukar diterima oleh pemimpin politik yang berasa diri mereka lebih pintar dan arif daripada rakyat. Bagi mereka, rakyat sentiasa tidak faham akan kekangan yang dihadapi oleh mereka semasa merancang dan melaksanakan projek pembangunan untuk 2.5 juta rakyat di negeri ini.

Itulah sebabnya, mereka meminta untuk sekian lama, agar rakyat bersabar kerana akhirnya kerajaan akan membawa pembangunan ke kawasan mereka. Mereka juga berhujah bahawa, rakyat perlu terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kerana hanya BN yang mampu membawa pembangunan. Sedangkan, pembangkang hanya pandai beretorik dan berjanji. Bagi kerajaan, pembangkang tidak mungkin dapat membawa pembangunan kepada rakyat kerana mereka tidak ada kuasa dan wang.

Sejauh mana hujah sedemikian masih berkesan, bukan sukar untuk dijawab kerana ada rakyat yang sudah hilang kesabaran sesudah menunggu berpuluh-puluh tahun. Lagipun, sebahagian mereka, terutama golongan muda sudah semakin pintar dan terdedah kepada dunia luar. Mereka ini jika menjadi pengundi berdaftar mampu mengubah pola pengundian di sesuatu kawasan. Jangan perlekeh kuasa golongan muda ini, yang boleh disifatkan sebagai arus bawah yang tidak dikesan kekuatannya.

Itulah sebabnya, kita masih lagi bergelut dengan masalah ketiadaan kemudahan asas membabitkan jalan raya, bekalan elektrik, kemudahan kesihatan, bangunan sekolah yang daif, dan seumpamanya. Itu belum lagi soal rakyat luar bandar yang masih lagi dibelenggu oleh kemiskinan. Masih ada yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Justeru, kerajaan perlu lebih serius dan komited dalam perencanaan dan pelaksanaan strategi untuk membasmikan kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dalam waktu terdekat. Memang tidak dinafikan, kita telah berjaya dalam mengurangkan kadar kemiskinan berbanding pada 1963 dahulu. Tetapi kita perlu ingat, kita berada pada alaf baharu pada tahun 2010. Jika sesudah 47 tahun, kita masih belum berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, apakah maksud dan implikasinya?

Keinginan untuk meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang disasarkan di bawah Model Ekonomi Baharu (MEB) hanya akan bermakna jika masalah kemiskinan dan pendapatan rendah dalam kalangan penduduk terbabit diatasi terlebih dahulu. Jika tidak, rakyat akan menyifatkannya sebagai tidak lebih daripada retorik politik. Ini merupakan cabaran besar yang perlu dipikul oleh Najib dan kerajaan BN.

Sesungguhnya, kita tidak boleh menganggap negeri atau negara kita maju selagi masih ada penduduk dan kawasan yang tidak maju. Kita tidak boleh mengisytiharkan negeri kita maju dan membangun selagi masih ada jalan raya yang tidak berturap, penduduk masih lagi bergantung kepada air dari sungai dan telaga atau masih bergantung pada pelita minyak untuk menerangi rumah dan rumah panjang mereka. Inilah nasib dan realiti yang dihadapi oleh sebahagian penduduk luar bandar di Sarawak.

Sampai bilakah mereka perlu hidup dalam keadaan demikian ketika kita seronok dengan segala kemudahan moden di bandar? Sampai bilakah kita terus dapat meminta mereka supaya bersabar, bersabar dan bersabar setiap kali menjelang pilihan raya? Tidakkah kita sebagai pemimpin berasa bersalah kerana masih gagal menunaikan janji kita? Saya tahu terdapat pemimpin yang berbuat demikian setiap kali berkempen, tetapi hingga ke hari ini, janji itu tinggal janji. Pemimpin jenis ini kelihatan mempunyai kulit lebih tebal daripada kulit kerbau. Mereka akan turun lagi merayu undi sekali lagi dalam pilihan raya yang akan datang.

Dengan menyedari perlunya pembangunan seimbang diwujudkan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dan antara bandar dengan luar bandar, maka Najib komited untuk memastikan bahawa Sarawak dapat berdiri sama tinggi dengan kawasan luar bandar lain di negara ini. Kita dapat menjangka bahawa dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan diumumkan di Dewan Rakyat pada 10 Jun nanti, lebih banyak peruntukan akan disalurkan ke negeri ini.

Sebelum ini pun, Najib memperlihatkan pengertian dan simpati yang amat mendalam terhadap penduduk di negeri ini. Dalam kunjungan terbaharu ke Sarawak baru-baru ini, beliau menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk kemudahan asas di luar bandar. Kita mengharapkan, beliau juga turun ke kawasan pesisiran dan pedalaman lain, untuk melihat nasib orang Melayu, Melanau dan kaum minoriti seperti Kayan, Kenyah, Lahanan dan seumpamanya.

Sewajarnya kawasan luar bandar di Sarawak diberi peruntukan yang lebih. Dalam pilihan raya umum lalu, daripada 31 kerusi Parlimen, BN Sarawak menyumbang sebanyak 30 kerusi. Jika tidak kerana sokongan kuat pengundi Sabah dan Sarawak, kemungkinan era pemerintahan BN dan UMNO sudah pun berakhir dalam satu pukulan tsunami politik yang luar biasa hebatnya itu. Manakala dalam pilihan raya negeri 2006, daripada 71 kerusi, 62 kerusi dimenangi oleh BN. Sebahagian besar kerusi terbabit terletak di luar bandar. Sokongan rakyat di luar bandar perlu dibalas dengan ganjaran yang setimpal.

Politik pembangunan dan 1Malaysia yang kita uar-uarkan hanya akan bermakna jika rakyat dapat melihat dan menikmati hasil daripada slogan itu. Kerajaan perlu berterima kasih kepada rakyat kerana menyokong mereka. Jadi, kerajaan tidak harus meminta rakyat untuk berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan selepas ini. Kalau bukan kerajaan yang melaksanakan pembangunan di luar bandar, siapa lagi? Apakah tugas dan tanggungjawab kerajaan kalau bukan untuk membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat? Jarang-jarang pula kita mendengar kerajaan meminta warga kota supaya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membangunkan kota dan bandar.

Pembangunan tidak harus dijadikan umpan untuk memancing undi. Tentu sesuatu yang malang jika kerajaan bertindak untuk menghukum rakyat, terutama petani dan nelayan miskin dengan tidak melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas di kawasan terbabit jika mereka tidak menyokong BN. Kerajaan perlu bersikap besar hati dengan menjadikannya sebagai iktibar. Tentu ada sebab sesetengah saluran atau kawasan di luar bandar, pengundi tidak memihak kepada calon BN.

Jadi, janganlah menghukum rakyat miskin, kecualilah pemimpin berkenaan berasa puas dan semakin besar egonya dengan berbuat demikian. Pemimpin yang berjiwa besar tentu akan bermuhasabah dan memeriksa dirinya. Maksudnya, dia perlu melakukan sesuatu agar rakyat kembali menyokongnya, dengan berbuat sesuatu yang baik kepada rakyat, dan bukannya menghukum mereka kerana perbuatan sedemikian akan hanya menyebabkan rakyat semakin muak dan benci sehingga akhirnya menjarakkan diri daripada pemimpin terbabit.

Dalam apa-apa keadaan sekalipun, permintaan yang difikirkan wajar daripada rakyat perlu diberi perhatian yang serius. Itulah sebabnya, kita wajar menyokong langkah Najib untuk membawa pembangunan ke luar bandar di Sabah dan Sarawak. Antaranya, 1,500km jalan raya menjelang akhir 2012; meningkatkan bekalan air bersih meliputi 90 peratus penduduk menjelang akhir 2012; dan meningkatkan liputan bekalan elektrik sehingga 95 peratus kepada penduduk di kedua-dua negeri ini menjelang akhir 2012.

Kita perlu memberi markah tinggi kepada Najib sejauh yang berkaitan dengan komitmen dan kesungguhannya terhadap pembangunan di negeri ini dalam tempoh setahun beliau menjadi Perdana Menteri. Dan, jangan lupa kita akan meraikan cuti 16 September tahun ini di seluruh negara berkat pengertian beliau terhadap aspirasi penduduk di Sabah dan Sarawak yang sama-sama menjayakan penubuhan Malaysia 47 tahun lalu, dan komitmen Najib sebagai Perdana Menteri yang ingin melihat gagasan 1Malaysia direalisasikan dengan jayanya.

Penulis ialah penganalisis politik yang kini menjadi pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

Comments

Popular Posts