Waspada baca laman blog?
Petikan Borneo Post Online
Waspada baca laman blog
by Mohd Norhadie Sahari
March 15, 2010, Monday
Rakyat tidak harus menerima bulat-bulat apa yang ditulis penulis blog: Chin

SIMBOLIK: Andy Chia (empat kanan) menanam anak pokok bunga raya sebagai simbolik perasmian Program Sepakat Bestari di Kampung Pulau Melayu, semalam.
MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengingatkan rakyat di negeri ini supaya berhati-hati ketika membaca laman-laman blog.
Beliau berkata, kebanyakan penulis blog menggunakan nama samaran masing-masing dan mengeluarkan dakyah tentang isu-isu yang boleh mendatangkan kemarahan orang ramai.
“Pelayar Internet diingatkan supaya jangan menerima bulat-bulat isu yang dipaparkan dalam blog kerana bukan semua yang dibincangkan dalam blog berkenaan adalah benar,” katanya semasa merasmikan Program Sepakat Bestari di Kampung Pulau Melayu, semalam.
Teks ucapan Chin yang juga Ahli Parlimen Miri disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Abdullah Murad, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Peter Chin, Sebastian Ting serta Penghulu Kampung Pulau Melayu Ahmad Lamat.
Menurut Chin lagi, kredibiliti penulis blog adalah diragui kerana mereka berselindung di sebalik nama samaran berbanding media arus perdana yang mempunyai nama sebenar penulis.
“Sehubungan itu, adalah menjadi peranan kerajaan sebagai penyampai maklumat yang rasmi bagi memberi penerangan yang sebenarnya kepada rakyat menerusi pegawai atau ahli-ahli K-Bestari,” katanya.
Malahan, katanya, K-Bestari juga dapat berperanan meningkatkan pengetahuan masyarakat supaya menggunakan maklumat secara bijaksana dalam menangkis tohmahan dan fitnah.
“Pada masa sama, K-Bestari dapat memastikan penduduk di kawasan mereka supaya tidak terlibat atau menerima hasutan pihak tidak bertanggungjawab melalui laman blog sebaliknya menyebarkan maklumat tepat atau dasar kerajaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Chin mengingatkan supaya rakyat di sini terus bekerja dengan cemerlang dalam segala bidang yang diamanahkan oleh persatuan atau kerajaan.
“Untuk menjadi pekerja cemerlang, kita harus komited dalam apa jua tugas dan tahu apa yang kita buat untuk mempertingkatkan produktiviti selain mereka perlu berilmu, berdaya saing dan bermoral,” katanya.
Program selama sehari itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasak, sukaneka dan gerai pameran yang disertai oleh beberapa agensi kerajaan.
Comments